Monday, July 27, 2009

Akhil janggal hidup solo

Akhil janggal hidup solo

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my


WAHEEDA yang kini mendiamkan diri dan sukar untuk dihubungi dikatakan tertekan dengan tohmahan yang dilemparkan kepadanya.

DIA mesra menyapa kehadiran pihak media yang mengerumuninya sebelum rakaman program Astro Mega Raya terbitan Astro baru-baru ini.

Masakan tidak, dia merupakan sasaran utama dalam senarai artis yang terlibat dalam program berkenaan untuk ditemuramah sementelah selepas dia menduda.

Pastinya, 15 Julai lalu akan terpahat dalam diari hidup Akhil Mohd. Hai atau lebih dikenali dengan nama komersial, Akhil Hayy apabila dia harus membuat keputusan yang seboleh-bolehnya perkara paling akhir yang akan dilakukannya.

Umum pastinya sudah mengetahui perkahwinan yang dibina selama 13 tahun menemui titik noktah apabila Akhil menceraikan isterinya, Maizawati Zainal dengan talak satu selepas pergolakan rumah tangga yang hangat diperkatakan sejak beberapa bulan yang lalu.

Semuanya gara-gara Akhil dikatakan cuba menyembunyikan kebenaran apabila dikatakan sudah berkahwin dengan penyanyi dan pelakon, Waheeda sehingga menyebabkan bekas isterinya tampil ke pihak media dan membuka kisah rumah tangga mereka.

Namun, bagaikan kata empunya diri, apa sahaja yang berlaku semuanya sudah ditentukan oleh Yang Maha Esa dan sebagai hambaNya dia reda menerima yang tertulis untuk dirinya.

"Alhamdulillah, keadaan saya sekarang okey dan tiada masalah. Saya harus meneruskan perjalanan hidup saya ini kerana saya perlu terus bekerja demi anak-anak saya.

"Saya juga harus akui bahawa ada juga berasa sedikit janggal sejak kembali solo ini biarpun selama ini pun saya banyak bermusafir atas nama dakwah yang saya perjuangkan," demikian kata Akhil yang membuka bicaranya pada malam itu.

Dari raut wajahnya, langsung tidak menunjukkan sebarang kedukaan di sebalik apa yang telah berlaku, sebaliknya, dia masih lagi mampu tersenyum dan menjawab pertanyaan media dengan baik.

Malah, dia juga sempat bergurau di sebalik jawapan yang diberikan apabila persoalan demi persoalan diajukan kepadanya.

Dalam gurau ada tegasnya dan Akhil berkali-kali menekankan bahawa perceraiannya dengan Maizawati bukanlah disebabkan oleh Waheeda yang dikatakan menjadi orang ketiga sehingga berlaku perceraiannya.

Semuanya bermula apabila Akhil dan Waheeda dikatakan sudah pun bernikah secara senyap dan terus menafikan perkhabaran itu sehingga memaksa Maizawati tampil kepada pihak media.

Akhil juga kesal dengan tindakan Maizawati yang dilihat cuba meraih populariti dan simpati orang ramai apabila ia dipaparkan dengan meluas di media.

Bukan itu sahaja, dia juga melahirkan kekesalan terhadap sebuah stesen televisyen yang dilihat cuba memanipulasi kenyataannya di samping terus menghangatkan lagi kisah itu walaupun selepas bercerai.

"Dia (Maizawati) harus fikir apa yang berlaku ketika itu dia masih lagi menjadi isteri saya. Sepatutnya masalah rumah tangga dibincangkan di rumah dan sama-sama mencari penyelesaiannya.

"Saya harus akui memang ada ketikanya saya sukar untuk dihubungi tetapi itu bukan bermakna dia boleh melakukan perkara sesuka hati dan pergi ke media untuk mengadu.

Berasa sedih

"Harus diingat, jangan jadikan pihak media sebagai pejabat kadi untuk menyelesaikan masalah rumah tangga kerana implikasinya sangat buruk," katanya dalam nada serius.

Sambungnya lagi, dia seboleh-bolehnya tidak mahu mengaibkan sesiapa dan meminta mana-mana pihak jangan mencabar dirinya untuk mengelakkan kebenaran terbongkar.

Namun begitu, dia tekad mahu menutup kisah lama dan memulakan penghidupan baru di samping anak-anaknya.

Dalam masa yang sama, dia mengucapkan terima kasih kepada pihak Astro yang begitu memahami kemelut yang dihadapi sepanjang beberapa bulan ini sehingga sanggup merehatkan seketika penggambaran program Cafe Akhil Hayy.

Dalam perbualan itu, Akhil turut diusik oleh pihak media apakah dia sudah menemui pengganti, sambil merenung jauh, Akhil enggan memikirkan perkara itu kerana baginya, jodoh pertemuan semuanya urusan Yang Maha Esa sekalipun jodohnya ditakdirkan dengan Waheeda.

"Apa yang saya mahu lakukan sekarang adalah mahu menumpukan perhatian kepada karier dan mengenai soal jodoh itu, saya serahkan kepadaNya," ujarnya ringkas.

Jelas Akhil, dia juga berasa sedih apabila penyanyi lagu Wassini itu tidak henti-henti ditohmah dan dicaci sedangkan berkali-kali dia menegaskan, hubungannya dengan penyanyi itu tidak lebih daripada seorang kawan.

Malah, sepanjang pergolakan rumah tangganya hangat diperkatakan, bukan sahaja Waheeda tetapi keluarga artis itu turut menerima tempiasnya dengan kata-kata nista masyarakat.

"Disebabkan itu, Waheeda sering kali jatuh sakit dan tertekan sehingga menyebabkan dia tidak mampu untuk keluar rumah buat masa ini.

"Cukup-cukuplah dengan apa yang ditanggungnya selama ini. Sehingga kini pun, dia masih lagi tidak sihat dan harap selepas apa yang berlaku, tidak akan ada lagi yang menuding kesalahan kepadanya.

"Dia cuma mahu mencari arah kepada yang lebih zuhud dan sebagai pendakwah, itu adalah tugas saya untuk membantunya," ujarnya apabila ditanya mengenai perkembangan terkini artis itu yang mendiamkan serta menghilangkan diri buat masa ini.

Tidak dinafikan, selepas apa yang berlaku imejnya sebagai pendakwah sedikit terjejas dan penuh optimis, Akhil memberitahu, semuanya itu adalah ujian Allah kepadanya.

"Saya banyak muhasabah diri saya untuk memperbaiki segala kelemahan untuk menjadi manusia yang lebih baik kerana kita bukanlah sempurna," katanya yang akan tampil dengan album terbarunya yang kini masih dalam pembikinan.

sumber: utusan malaysia